Tarif elektrik bagi sektor domestik,  komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per  kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54  sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jun 2011. Ia dilakukan selaras keputusan  kerajaan menyemak semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung  daripada RM10.70/MMBtu (unit termal British) kepada RM13.70/MMBtu.
Bagaimanapun, kenaikan tidak membabitkan  kira-kira 75 peratus atau 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan  elektrik pada kadar 300 kwj sebulan atau kurang. Daripada jumlah  pengguna domestik itu, 900,000 adalah golongan berpendapatan rendah,  manakala 200,000 lagi miskin tegar.
Pengguna yang dijangka terbabit dengan  kenaikan, iaitu yang menggunakan elektrik antara 301 hingga 1000 kWj  sebulan hanya berjumlah 1.39 juta atau 23.5 peratus.
Mereka akan mengalami kenaikan bil  elektrik bulanan antara tujuh sen hingga RM30.30 atau 0.1 peratus hingga  10 peratus. Bagaimanapun, kerajaan akan terus membantu golongan  berpendapatan rendah dengan memberikan elektrik percuma kepada pengguna  yang bil elektrik mereka kurang RM20 sebulan sehingga 31 Disember 2011.
Bantuan ini membabitkan kos RM122 juta setahun untuk 900,000 pengguna daripada 5.94 juta pengguna domestik di Semenanjung.
Pengguna komersial voltan rendah seperti  peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil yang penggunaannya tidak  melebihi 200kWj sebulan akan mengalami kadar kenaikan maksimum sebanyak  6.2 peratus atau RM4.60 sebulan. Pengusaha industri memproses makanan  kecil-kecilan yang menggunakan elektrik kurang 200kWj sebulan juga  mengalami kenaikan yang sama, tetapi hanya RM4 sebulan.
Info
- Pakej Penstrukturan Tarif Elektrik yang diluluskan kerajaan untuk dilaksanakan oleh TNB
- Menaikkan kadar diskaun di luar waktu  puncak bagi Penyimpan Tenaga Thermal (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada  3.5 sen/kWj untuk menyokong pembangunan teknologi hijau dan pengurusan  tenaga (DSM)
- Mengurangkan kadar tunggu sedia charge  yang dikenakan ke atas pepasangan penjanaan bersama daripada RM25/kWj  sebulan kepada RM12/kWj sebulan untuk pengguna voltan tinggi dan  RM14/kWj sebulan untuk pengguna voltan sederhana bagi menggalakkan  penggunaan tenaga lebih cekap
- Memberi potongan 10 peratus daripada  kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai  sebahagiannya oleh kerajaan, seperti yang diberikan kepada rumah ibadat,  institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya  kerajaan
- Syarikat rawatan air, pengagihan air dan pembetungan diletakkan di bawah kategori tarif industri
- Mengekalkan Tarif Khas Pertanian yang diperkenalkan pada 2006.
Kerajaan Prihatin
- Elektrik percuma kepada pengguna yang bil elektrik mereka berjumlah kurang RM20 sebulan sehingga 31 Disember 2011.
- Bantuan membabitkan RM122 juta setahun untuk 900,000 pengguna daripada 5.94 juta pengguna domestik di Semenanjung
Sumber: Berita Harian
Artikel dimasukkan pada 31 Mei 2011
    Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Tawar Pinjaman Sehingga 105 Peratus 
Pembeli rumah di bawah Program Perumahan  1Malaysia (PR1MA) ditawarkan pinjaman sehingga 105 peratus oleh  institusi kewangan terpilih dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30  tahun selain dikecualikan pembayaran duti setem untuk mengurangkan beban  mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan memastikan  rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana, terutama di  bandar dan pinggir bandar, membabitkan isi rumah berpendapatan antara  RM2,500 hingga RM5,000 sebulan. Katanya, pinjaman ditawarkan sehingga  105 peratus supaya lebihan lima peratus diguna bagi membiayai kos  insurans dan yuran guaman.
Pembeli juga boleh mengeluarkan simpanan  akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung  sebahagian bayaran balik pinjaman.
Datuk Seri Najib turut mengumumkan  penubuhan Perbadanan Program PR1MA, di bawah Pejabat Perdana Menteri,  bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek itu di seluruh negara  selain menentukan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.
Akta khas sedang digubal mengenai penubuhannya dan akan dibentang di Parlimen pada sidang akan datang.
 Perdana Menteri melihat model rumah selepas majlis Pelancaran Program Perumahan 1Malaysia, di Putrajaya
 pada 4 Julai 2011
 
Projek PR1MA
-  Projek PR1MA yang dibangunkan menerusi  usaha sama kerajaan-swasta ini adalah khusus untuk warga negara  Malaysia yang berpendapatan sederhana tetapi tidak lebih daripada  RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan kerajaan,  swasta atau bekerja sendiri. 
- Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi.
- Untuk projek fasa pertama di Presint 11, Putrajaya harga seunit bermula daripada RM120,000.
- Hingga kini sebanyak 20 tapak strategik  di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan dikenal pasti bagi  pelaksanaan projek PR1MA, termasuk lapan projek yang dijangka bermula  tahun ini dan tahun depan, membabitkan 42,000 unit rumah strata dan  kediaman bertanah. 
- Lokasi terbabit ialah Putrajaya;  Cyberjaya; Bandar Tun Razak di Cheras dan Sungai Besi (Kuala Lumpur);  Putra Heights di Subang Jaya, Ara Damansara di Petaling, Bandar Bukit  Raja di Klang, Elmina East dan Elmina West di Shah Alam, Kota Elmina Di  Sungai Buloh, Lagong Mas di Rawang (Selangor) serta Bandar Ainsdale di  Seremban dan Seremban Sentral (Negeri Sembilan). 
- Tapak pertama projek PR1MA di Presint  11 di sini akan menyediakan 560 unit rumah dengan keluasan antara 815  kaki persegi (kps) hingga 1,006 kps di tapak seluas 1.9 hektar, lengkap  dengan kemudahan dewan serba guna, Taska, Tadika, surau dan tapak  perniagaan serta kedai. 
Sumber : Berita Harian
Artikel dimasukkan pada 5 Julai 2011